MAJLIS MINUM PETANG BERSAMA PENERIMA ICP PADA

24 JANUARY 2017

 

Assalamu’alaikum whb dan selamat petang,

Yang dihormati Encik Zairi Mat Ali, Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia, wakil-wakil Kementerian Kewangan Malaysia, wakil wakil syarikat penerima ICP tempatan, wakil media, tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Terlebih dahulu kita mengucapkan syukur ke hadirat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bertemu pada hari ini bagi tujuan berkenalan antara satu sama lain sebagai syarikat yang pernah dan sedang mendapat manfaat ICP.

Pihak TDA juga ingin mengucapkan selamat datang kepada tuan-tuan dan puan-puan serta ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sessi ‘hi-tea’ ini.

Selain dari saling kenal mengenal, pihak TDA juga ingin membuat penilaian terhadap tatacara pelaksanaan ICP di Malaysia pada masa kini dan ingin mendapat maklum-balas dari pemain industri tempatan untuk menambahbaik pendekatan pelaksanaan ICP yang sedia ada.

 

Tuan-tuan dan puan puan,

Sebagai pembuka bicara, saya ingin memperkenalkan Technology Depository Agency (TDA). TDA adalah merupakan satu entiti dibawah kawal-seliaan Kementerian Kewangan Malaysia yang diberi mandat untuk melaksanakan Program Koloborasi Industri atau lebih dikenali sebagai ICP. Sebagaimana yang diketahui bahawa ICP adalah merupakan satu inisiatif Kerajaan bagi menambah pulangan ekonomi kepada setiap ringgit yang dibelanjakan. Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan telah mengeluarkan Dasar dan Garispanduan Pelaksanaan Program ICP dalam Perolehan Kerajaan dan ianya perlu dipatuhi oleh entiti Kerajaan yang membuat perolehan dan juga pembekal kepada perolehan tersebut.

Pelaksanaan ICP adalah bagi membolehkan industri tempatan mendapat manfaat dengan pelaksanaan secara bersistematik dalam jangka panjang. Pembangunan kompetensi menerusi pembangunan modal insan dan penggunaan barangan tempatan adalah merupakan teras kepada pelaksanaan program ICP buat masa ini. Ianya turut didokong dengan pelaksanaan program lain seperti pengukuhan kompetensi tempatan melalui program Pemindahan Teknologi, Penembusan Pasaran, R&D&C dan ‘smart partnership’ diantara syarikat tempatan dan syarikat luar negara.

ICP adalah merupakan satu pendekatan pelaksanaan program offset oleh Kerajaan Malaysia yang agak berbeza dengan pendekatan negara lain. Oleh yang demikian, visi TDA adalah untuk meletakkan pendekatan ICP di Malaysia sebagai satu pendekatan yang menjadi tanda aras global dan boleh menjadi contoh negara lain.

Aspek utama perbezaan ini adalah berkaitan dengan pelaksanaan ICP itu sendiri dimana pelaksanaan ICP di Malaysia merangkumi perolehan pertahanan dan komersial. Buat pengetahuan para hadirin sekelian, kurang dari 10 negara di dunia ini yang mengamalkan pelaksanaan program offset untuk perolehan pertahanan dan komersial. Setakat ini, kita boleh berbangga dengan pencapaian kita dimana program ICP di Malaysia boleh dikatakan sebagai satu pendekatan yang sistematik dengan pencapaian yang baik. Ini ditambah lagi dengan beberapa negara membangun seperti Ghana, Oman dan Thailand yang telah menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan tatacara pelaksanaan program ICP di Malaysia.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi pelaksanaan program ICP komersial, sebanyak RM 49.5 billion pulangan ekonomi berdasarkan kepada ICP telah dikenalpasti untuk pelaksanaannya hingga tahun 2020. Angka ini dijangka akan bertambah dari masa kesemasa berdasarkan kepada perancangan perolehan yang dibuat dan diluluskan oleh Kerajaan.

Buat masa ini, sebanyak RM 18.5 billion (37%) telah dilaksanakan dari beberapa perolehan seperti Perolehan Enjin Pesawat A380 untuk MAS, Electric Train Sets untuk KTMB, program Mass Rapid Transit 1 (MRT1), Air Traffic Control Centre untuk DCA, perolehan aset untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, perolehan aset untuk Kementerian Dalam Negeri, program LRT oleh Prasarana dan program perolehan dibawah kendalian Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Selain dari itu, terdapat juga perolehan pertahanan yang nilai pulangan ekonomi dijangka melebihi RM20 billion sehingga 2020 sedang dalam pelaksanaan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pelaksanaan ICP oleh TDA dibawah Kementerian Kewangan ini mempunyai keunikannya sendiri. Dengan adanya entiti pusat seperti TDA, beberapa program ICP dari beberapa program perolehan boleh digabungkan untuk mendapat impak yang lebih besar.

Sebagai contoh, program Rail Center of Excellence (RCOE) adalah merupakan satu program yang dilaksanakan dengan kerjasama OEMs melalui 3 program perolehan yang berlainan iaitu program 8×8 AWV oleh Kementerian Pertahanan, program MRT yang dilaksanakan oleh MRT Corp dan program ETS oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Program RCOE ini dibentuk bagi mendokong pembangunan modal insan yang diperlukan bagi memastikan kelestarian industri rel di Malaysia dan pengukuhan kompetensi tempatan jangka panjang. RCOE ini bekerjasama dengan agensi seperti SPAD, Jabatan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi dan pemain industri tempatan seperti KTMB, Prasarana serta universiti tempatan seperti UniKL dan UTHM. Berdasarkan kepada perancangan, RCOE akan melatih sebanyak 500 pelatih pada tahun 2017 dan akan mencapai angka 16000 pelatih pada tahun 2021 (3000 kolar putih dan 13000 kolar biru).

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, pelaksanaan ICP di Malaysia boleh diambil sebagai satu contoh di peringkat global. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan ICP di Malaysia dan pencapaiannya telah menarik perhatian satu badan induk diperingkat antarabangsa iaitu Global Offset and Countertrade Association (GOCA), dan pihak GOCA telah bersetuju untuk menganjurkan konferen dan seminar GOCA 2017 musim bunga (spring) di Malaysia. Buat makluman para hadirin sekelian, GOCA adalah merupakan satu NGO yang aktif mempromosikan program offset diperingkat global dengan penglibatan dari pelbagai negara dan syarikat multinasional.  Oleh itu, penganjuran konferen di Malaysia adalah merupakan satu pengiktirafan buat pelaksanaan program ICP kerana konferen dan seminar ini tidak pernah diadakan di rantau ini. Konferen ini selalunya akan diadakan samada di Eropah atau Amerika Syarikat. Bagi tujuan maklumat, pihak kami akan mengadakan penerangan berkaitan konferen ini sebagai salah satu agenda hari ini.

Pihak Kementerian Kewangan dan TDA berharap agar pelaksanaan ICP ini akan mendapat sokongan berterusan dari pihak pemain industri agar ianya memberi manfaat kepada negara. Penambahbaikan secara berterusan akan diadakan bagi memastikan pendekatan yang dinamik dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dan industri semasa.

Pihak TDA juga mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan secara berterusan dari industri tempatan. Kita berharap semoga sinergi berterusan pihak Kerajaan dan pemain industri tempatan akan membuahkan impak yang akan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara.

Dengan ini saya akhiri ucapan saya dengan wassalamualaikum whb dan selamat petang.

 

Zailani Safari

Ketua Pegawai Eksekutif, TDA