MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL TAMAT LATIHAN

RAILWAY MAINTENANCETRAINING

 

Teks Ucapan oleh

EN AZMAN OMAR, PENGARAH KANAN, BAHAGIAN OPERASI PROGRAM, TDA

 20 JANUARI 2018 | SABTU | HOTEL SUN INNS, KELANA JAYA

 

 

Yang BerbahagiaDato’ Sri Eric Kuan, Pengarah Eksekutif Kumpulan Fajarbaru Builder Group Berhad

Yang Berusaha Prof. Madya Dr Shahruddin Bin Mahzan @ Mohd Zin, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTHM

Yang Berusaha Mejar (Bersara) Abdul Rahman Din, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Projek KTMB

Tetamu yang dihormati, pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian, agensi kerajaan, dan para hadirin sekalian.

Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan

Assalamualaikum w.r.b.t., salam sejahtera dan selamat pagi,

  1. Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Fajar Baru Builder Group Berhad dan UTHM,kerana menjemput saya menyampaikan sepatah dua kata bagi pihak Technology Depository Agency (TDA) pada hari ini di dalam majlis yang amat bermakna dalam pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP). Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Fajarbaru Builder Group Berhad, terutamanya kepada Tuan Pengarah, Dato’ Sri Eric Kuan kerana menganjurkan majlis ini.
  1. Untuk makluman hadirin sekalian, Technology Depository Agency (TDA) adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme atau ICP) di Malaysia. Pelaksanaan ICP ini adalah salah satu elemen penting dan berkesan bagi pembangunan ekonomi dan technologi negara di mana fungsi TDA adalah memperkukuhkan struktur pengurusan hubungan kerjasama antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan pemindahan teknologi dapat dijayakan dengan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, TDA bertanggungjawab memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat pulangan dari perolehan Kerajaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Pada hari ini kita akan menyaksikan dan meraikan seramai 45 peserta yang tamat latihan Railway Maintenance. Program latihan merupakan satu lagi kejayaan pelaksanaan ICP yang tercetus dari  Program Rehabilitasi Trek antara Jerantut dan Gua Musang (Pakej B), satu lagi perolehan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Untuk pengetahuan semua, Fajarbaru Builders Sdn Bhd, iaitu kontraktor bagi program Pakej B ini, telah menjana ICP Credit Value (ICV) sebanyak RM610 ribu  dengan menyediakan latihan Railway Maintenance ini kepada UTHM, KTMB dan juga JPP.
  1. Selaku penerima manfaat projek ICP ini, UTHM dan KTMB, pastinya akan dapat menggunapakai pengetahuan dan skil yang dipelajari bagi menyumbang kepada industri rel di negara ini. Melalui latihan Railway Maintenance ini juga, UTHM dapat melahirkan graduan yang fasih dalam industri rel yang makin berkembang sekaligus menyahut seruan kerajaan dalam memenuhi Rancangan Malaysia ke-11 dalam pembangunan modal insan.
  1. Ini secara tidak langsung dapat membantu kontraktor untuk mencari tenaga kerja berkualiti dan berpengetahuan di dalam industri rel. Perkongsian ilmu oleh kakitangan KTMB yang berpengalaman adalah amat berharga bagi peserta latihan. Manakala, bagi kakitangan KTMB pula, input melalui latihan ini akan meningkatkan keupayaan dan juga prestasi yang lebih tinggi di dalam melaksanakan tugas harian mereka.
  1. Kesimpulannya, majlis pada hari ini adalah satu lagi success story membuktikan bahawa pelaksanaan ICP memberi faedah kepada pelbagai pihak dalam pelbagai bentuk.

Tuan-tuan dan Puan-puan

  1. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir pada hari ini. Kami di TDA amat berbangga menerima mandat ICP dengan sokongan daripada kalian. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada wargakerja TDA, Fajarbaru Builders Sdn Bhd, UTHM, KTMB dan JPP yang telah bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Sekian,Terima kasih. Assalamualaikum w.r.t.b