MAJLIS MENANDATANGANI

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA TDA – PEKEMA

 

TEKS UCAPAN OLEH

DATO’ ZAILANI SAFARI, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, TDA

27 January 2018 | Wisma PEKEMA, Cyberjaya

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang Berbahagia Dato’ Junaidah Kamarruddin, Ahli Lembaga Pengarah TDA

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zainuddin Abd Rahman, Presiden PEKEMA

Ahli-ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli PEKEMA, Tan Sri-Tan Sri, Datuk Sri- Datuk Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan, para jemputan yang dihormati dan rakan media sekalian

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan selamat petang.

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Ilahi atas limpah kurnia, izin dan inayahNya, kita dapat bersama-sama di dalam majlis yang penuh barakah pada hari ini. Majlis ini amat bermakna dan bersejarah kepada kami di Technology Depository Agency (TDA) yang disandarkan dengan mandat dan amanah dari Kerajaan untuk membantu melestarikan pembangunan ekonomi Negara.
  1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada YBhg Dato’ Junaidah, Ahli Lembaga Pengarah TDA kerana sudi meluangkan masa dihujung minggu untuk hadir bersama-sama kita hari ini menyaksikan satu lagi majlis bersejarah dalam pelaksanaan Industrial Collaboration Programme (ICP) di Malaysia.
  1. Ucapan terima kasih juga kepada PEKEMA kerana menganjurkan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara PEKEMA dan TDA. Memorandum Persefahaman (MOU) ini adalah komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti projek-projek yang berpotensi melalui landasan Industrial Collaboration Programme (ICP) yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, industri dan teknologi bukan sahaja bagi kepentingan kedua-dua pihak, PEKEMA dan TDA, tetapi juga untuk negara Malaysia tercinta.
  1. Untuk makluman hadirin sekalian, Technology Depository Agency (TDA) adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme atau ICP) di Malaysia. Pelaksanaan ICP ini adalah salah satu elemen penting dan berkesan bagi pembangunan ekonomi dan technologi negara di mana fungsi TDA adalah memperkukuhkan struktur pengurusan hubungan kerjasama antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan pemindahan teknologi dapat dijayakan dengan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, TDA bertanggungjawab memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat pulangan dari perolehan Kerajaan.
  1. ICP adalah merupakan satu inisiatif Kerajaan bagi memastikan program perolehan yang dilaksanakan menggunakan dana Kerajaan mendapat pulangan optimum dan memberi manfaat kepada negara dan rakyat. Sebagai contoh pelaksanaan ICP adalah pelaksanaan dalam perolehan mega Kerajaan MRT Laluan Sg Buloh Kajang yang telah dilancarkan pada 17 Julai 2017. tahun lalu telah menyaksikan 50% dari nilai kontrak dapat dilaksanakan menggunakan barangan dan tenaga kerja tempatan, melebihi sasaran awal iaitu 30% dan ICP memainkan peranan penting dalam misi penggunaan barangan dan tenaga kerja tempatan.
  1. Buat masa ini, TDA telah mengenalpasti potensi pembangunan industri yang bernilai lebih dari RM10 billion. Ini adalah berdasarkan kepada perolehan mega yang dilaksanakan oleh Kerajaan terutamanya dalam industri rel. Angka yang disebutkan ini tidak termasuk program mega seperti HSR, ECRL, MRT3 dan lain-lain. Berdasarkan kepada polisi Kerajaan dan pendekatan pelaksanaan ICP pada masa ini, pihak TDA menjangkakan pulangan ekonomi dengan pengganda lebih dari RM60 billion.
  1. Dari angka yang besar yang dinyatakan di atas, pihak TDA amat memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak iaitu Kerajaan, pemain industri tempatan, NGOs dan lain-lain bagi memastikan angka tersebut akan memberi manfaat kepada industri tempatan terutamanya rangkaian pemain industri bumiputera yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan tidak berlaku kebocoran yang tidak sewajarnya.
  1. Buat makluman para hadirin sekelian, TDA telah terlibat secara aktif dengan komuniti antarabangsa yang melaksanakan ICP samada dengan mereka yang mewakili Kerajaan mereka pemain industri seawal 2011. Berdasarkan kepada perkongsian maklumat dan pencapaian yang ada, TDA diiktiraf oleh komuniti antarabangsa sebagai satu entiti mewakili Kerajaan yang mempunyai pendekatan dan rangkakerja ICP yang efektif dan pragmatik. Justeru, kerjasama erat dari pelbagai pihak adalah penting bagi tujuan pengoperasian rangkakerja ini bagi mendapatkan impak yang optimum. Para hadirin sekelian boleh ‘menggooogle’ perkataan TDA atau Technology Depository Agency bagi tujuan ‘cross-reference’.
  1. Oleh yang demikian, saya yakin ke atas kerjasama di antara TDA dan PEKEMA yang memanfaatkan ICP, kita sudah melihat hubungan ini sebagai pemboleh bagi perkongsian strategik yang komprehensif di masa depan. Melalui MoU yang ditandatangani pada hari ini, TDA dan PEKEMA akan melihat kepada peluang-peluang yang boleh diterokai membangunkan industri tempatan dan direalisasikan dengan optimum. Melalui program ICP, pihak TDA akan dapat mengenalpasti peluang-peluang perniagaan yang boleh diterokai menggunakan pelbagai model perniagaan seperti usahasama, penembusan pasaran, pemerkasaan kapasiti industri tempatan, pemindahan teknologi dan pelbagai lagi.
  1. Melalui platform ini, saya berharap agar PEKEMA bersedia untuk menjadi rakan bertindak dari aspek pelaburan dan penyertaan aktif dalam projek-projek yang dikenalpasti oleh TDA .
  1. Pihak TDA juga pada masa ini dalam proses membangunkan ICP Intelligent Data Management System (I2DMS), sebuah sistem pengurusan projek dan penyimpanan data ICP yang dibangunkan oleh TDA. Sistem ini akan mempunyai pangkalan data yang akan membantu Kerajaan dalam mengenalpasti ekosistem industri dan rantaian bekalan sektor yang strategik seperti industri rel, maritime, tenaga dll. Melalui projek usahasama yang akan dilaksanakan, PEKEMA akan mempunyai akses kepada system ini bagi membolehkan pembangunan industri tempatan terutamanya yang berkaitan dengan bumiputera dapat dibangunkan dengan lebih efektif.

Hadirin sekalian,

  1. Saya berharap agar Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada hari ini akan menjadi satu ‘milestone’ sebagai penanda permulaan satu usahasama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada pemain industri Bumiputera khususnya dan negara amnya. Saya berharap dan berdoa agar perjalanan kita ini akan mendapat keberkatan dari Ilahi dan kita dapat memastikan kita sentiasa berada di atas landasan yang betul bagi kebaikan anak-cucu kita dimasa hadapan.
  1. Bagi mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan sekali lagi bagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini terutamanya YB Dato’ Seri Johari Abdul Ghani selaku Menteri Kewangan II, pihak PEKEMA selaku tuan rumah, Kementerian Kewangan Malaysia selaku kementerian penaung TDA dan ICP dan ahli-ahli PEKEMA.
  1. Saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada wargakerja PEKEMA, dan TDA yang telah bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.
  1. Akhir kalam, saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.