SEMINAR PERFORMANCE BASED CONTRACT KEPADA AGENSI KERAJAAN

Anjuran:
Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan ( BPK) & 
Technology Depository Agency (TDA)

TEKS UCAPAN OLEH

DATO’ ZAILANI SAFARI, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TECHNOLOGY DEPOSITORY AGENCY

7 Disember 2017 | Khamis | Auditorium, Aras 1, Blok Tengah, Kementerian Kewangan, Putrajaya

 

 

Bismillahirahmannirrahim

Yang Berbahagia Dato’ Othman bin Semail, Setiausaha Bahagian Perolehan Kewangan

Yang Berusaha Encik Zairi bin Hj Mat Ali, Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kewangan

Yang Berusaha Pn Hajah Rozita bte Mohd Ali, Ketua Seksyen Kontak Pusat dan Sistem Panel Sektor Kontrak

Yang Berbahagia Ir Datuk Kamarulzaman bin Zainal, Senior Associate, Performance Based Contract Center of Reference, TDA

Ahli-ahli panel dari Agensi Pertahanan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara Di-Raja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),danKeretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),

Pegawai-pegawai dari Kementerian, Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),

serta semua peserta Seminar PBCyang dihormati.

 

Assalamualaikum w.r.b.t., Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan selamat tengahari.

  1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Dato’-Dato’, Datin, tuan-tuan, puan-puandan para hadirin kerana telah meluangkan masa menjayakan “SEMINAR PERFORMANCE BASED CONTRACT (PBC)KEPADA SEMUA KEMENTERIAN, AGENSI KERAJAAN, SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN” yang julung-julung kali diadakan untuk semua Kementerian, Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Perolehan Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF)atas sokongan yang berterusan kepada TDA dan menjadi penganjur bersama program ini.

Hadirin sekalian,

  1. Technology Depository Agency (TDA) telah ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Kementerian Kewangan untuk memantau Program Koloborasi Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP), di mana TDA diberi mandat melalui Polisi ICP Kebangsaan untuk mengurus, mentadbir dan memantau pelaksanaan ICP. Pelaksanaan ICP ini adalah sebagai satu platform bagi memajukan industri tempatan dan keupayaan teknologi negara dengan memanfaatkan perolehan strategik kerajaan.
  1. Selain daripada mandat pelaksanaan ICP, TDA juga telah diberi tugas untuk membangunkan satu pusat rujukan bagi pelaksanaan Performance Based Contract (PBC) bagi kontrak-kontrak Kerajaan. Pihak TDA ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana memberi kepercayaan kepada TDA untuk melaksanakan aspirasi ini diperingkat kerja.
  1. Seperti yang dijelaskan sepanjang program hari ini, kaedah PBC dilihat dapat memberi jaminan kepada Kerajaan bahawa kontraktor yang diberi kontrak perlu bersedia mengambil risiko untuk menerima pembayaran boleh diubahsuai yang bergantung kepada Key Performance Indicator (KPI)yang telah dipersetujui. Dalam perkara ini, pihak kontraktor perlu membuktikan kepada Kerajaan tentang kebolehupayaan mereka bagi memastikan ‘outcomes’ dari perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani dapat disempurnakan dengan baik.
  1. Pihak Kerajaan akan mendapat manfaat menggunakan pendekatan ini kerana wang kerajaan dapat digunakan dengan lebih efektif bagi tujuan membuat pembayaran perkhidmatan dan dapat dipastikan keberkesanannya. Dalam konteks ini, sekiranya perkhidmatan yang telah dipersetujui tidak mencapai Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan, pihak kontraktor tidak akan mendapat bayaran penuh. Oleh yang demikian, dengan penetapan kadar risiko yang bersesuaian (at risk amount), kontraktor perlu berusaha untuk mencapai perkara berikut bagi memastikan bayaran penuh diterima:
    1. Mencapai KPI yang telah dipersetujui;
    2. Melaksanakan tugas berdasarkan kepada jadual yang dipersetujui; dan
    3. Memastikan kualiti kerja mencapai piawaian/standard yang telah ditetapkan.
  1. Sebagai anggota dan pegawai yang diamanatkan untuk melaksanakan tugas bagi pihak Kerajaan (samada yang terdiri dari kakitangan Kerajaan dan syarikat yang ditugaskan oleh Kerajaan), kita perlu memastikan wang kerajaan yang diperuntukkan dapat digunakan seoptima yang mungkin. Dengan matlamat ini, TDA sebagai pihak yang diberi mandat oleh MoF untuk menjadi pusat rujukan, pihak kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan kepakaran dalam melaksanakan PBC. Ianya akan diperkukuhkan lagi dengan kerjasama serta sokongan daripada pihak Kementerian Kewangan dan akan terus merancang dan melaksana inisiatif-inisiatif yang bersesuaian dengan kepentingan Kerajaan bagi memperoleh pulangan yang optimum dalam setiap perbelanjaan wang Kerajaan.

Dato’-dato’, Tuan-tuan, Puan-puandan Para Hadirin

  1. Melalui perbincangan yang diadakan dalam Seminar pada hari ini, kita dapat melihat bukti kejayaan dan pencapaian yang penting, selaras dengan perkongsian berdasarkan pengalaman pelaksanaan PBC daripada beberapa panel khususnya dari APMM, TUDM, JBPM, dan KTMB. Saya berharap agar pelaksanaan PBC ini akan dapat diperluaskan kepada kementerian dan agensi yang lain bagi memastikan penggunaan wang kerajaan menepati objektif dan sasaran yang telah ditetapkan.
  1. Kepada peserta-peserta, saya berharap seminar ini telah memberi pendedahan dan penambahan ilmu pengetahuan dalam mendokong usaha Kerajaan untuk menjadi negara maju. Saya percaya bahawa pendekatan PBC yang diperkenalkan pada hari ini menyediakan platform untuk kita berinovasi dan gambaran dalam usaha kita memberi khidmat yang terbaik kepada negara. Usaha kita yang sedikit ini InshaAllah akan memberi impak sekiranya bukan didunia ini, diakhirat jua kita akan diberi.
  1. Akhir kalam, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan seminar ini terutamanya Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK), Kementerian Kewangan, selaku pemilik program PBC, kehadiran para peserta yang diraikan dan sekalung tahniah diucapkan kepada wargakerja TDA, yang telah bekerjasama dalam menjayakan seminar ini. Semoga seminar PBC ini memberi manfaat kepada setiap para peserta.

Saya sudahi ucapan ini dengan Assalamualaikum wbt