MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL ISO DAN ISMS

 

TEKS UCAPAN OLEH

DATO’ ZAILANI SAFARI, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, TECHNOLOGY DEPOSITORY AGENCY (TDA)

13 March 2018 | TDA, LEVEL 2, MENARA PRISMA, PUTRAJAYA

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Alhamdulillahi robbil A’lamin.

Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM

Yang Berusaha Encik Mohd Azanuddin Salleh, Pengarah Urusan, SIRIM QAS International Sdn Bhd

Yang Berusaha Encik Zairi Mat Ali, Timbalan Setiausaha, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia

Pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari

Kementerian Kewangan (MOF),

Kementerian Pertahanan (MINDEF),

Kementerian Kerja Raya (KKR),

Kementerian Pengangkutan (MOT),

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari SIRIM

Pegawai-pegawai dari agensi dan syarikat swasta yang merupakan rakan strategik TDA – MRT Corporation, DreamEdge Sdn Bhd dan Feiran Technology

Pengurusan kanan dan semua wargakerja TDA yang saya hormati sekalian

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Ilahi atas limpah kurnia, izin dan inayahNya, kita dapat bersama-sama di dalam majlis yang penuh barakah pada hari ini. Majlis ini amat bermakna dan bersejarah kepada kami wargakerja Technology Depository Agency (TDA) yang disandarkan dengan mandat dan amanah dari Kerajaan untuk membantu melestarikan pembangunan ekonomi Negara.
  1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak SIRIM yang diketuai oleh Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hanikerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke premis TDA bagi menyerahkan sijil ISO/IEC 27001:2013 Information Security Management System (ISMS). Saya turut berbesar hati dan amat terharu dengan kehadiran pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian yang hadir ke pejabat TDA yang tidak seberapa ini bagi menyaksikan satu majlis yang sederhana tetapi besar maknanya kepada kami di TDA.
  1. Untuk makluman hadirin sekalian, TDA adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang telah diberi kepercayaan untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme atau ICP) di Malaysia. Pelaksanaan ICP ini adalah salah satu elemen penting dan berkesan bagi pembangunan ekonomi dan technologi negara di mana fungsi TDA adalah memperkukuhkan struktur pengurusan hubungan kerjasama antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan pemindahan teknologi dapat dijayakan dengan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, TDA bertanggungjawab memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat pulangan dari perolehan Kerajaan.
  1. Pihak TDA juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman pada tahun 2016 bertujuan untuk bekerjasama dalam membuat penilaian kebolehupayaan industri dalam sektor yang berkaitan dengan teknologi. Lanjutan dari memorandum itu, TDA dan SIRIM bekerjasama dalam membangunkan proses penilaian bagi memastikan ICP dapat dimanfaatkan oleh pemain industri yang mempunyai kebolehupayaan yang betul dan selaras dengan projek yang hendak dilaksanakan.
  1. Dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan, pihak pengurusan TDA dengan sedaya upaya memastikan bahawa pengurusan dan pentadbiran di TDA dibuat mengikut prosidur dan tatacara yang di iktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Bagi tujuan tersebut, untuk makluman hadirin sekalian, TDA telah memperolehi Persijilan Kualiti (Quality Management System – QMS) ISO 9001:2015 pada 8 September 2017 bagi skop urustadbir ICP (Governance), pengurusan pelaksanaan Perkhidmatan ICP Management Unit Service (IMU) dan bagi perkhidmatan korporat merangkumi pengurusan kewangan dan sember manusia.
  1. TDA juga telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah yang telah disaksikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2017. Ini adalah bagi membuktikan komitmen TDA untuk memastikan integriti pelaksanaan ICP di Malaysia agar wang Kerajaan yang dibelanjakan melalui perolehan mega memberi manfaat kepada rakyat dan industri selaras dengan aspirasi Kerajaan melalui ICP.

Hadirin yang dihormati,

  1. Dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan, TDA menggunapakai ICP Inteligent Data Management System (I2DMS), sebagai platform bagi pengurusan projek dan penyimpanan data yang dibangunkan oleh TDA. Sistem ini akan memastikan maklumat penting projek disimpan dengan selamat dan teratur.Sehubungan dengan itu, TDA telah berusaha untuk memastikan sistem ini mematuhi keperluan yang ditentukan bagi memastikn keselamatan data adalah terjamin. TDA dengan itu telah memulakan usaha untuk mendapatkan pensijilan ISO/IEC 27001:2013 pada awal 2017 dan telah berjaya mendapat persijilan tersebut pada 15 Februari 2018.
  1. Dengan adanya pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2013, TDA mensasarkan tahap keselamatan maklumat yang tinggi dalam melaksanakan mandat yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia sebagai agensi pelaksana ICP. Seterusnya, sistem yang digunapakai akan menjamin dan meningkatkan keselamatan maklumat dari masa kesemasa mengikut peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan kerahsiaan (confidentiality), integriti dan ketersediaan maklumat (availability) bagi menjaga kepentingan kakitangan dan stakeholders.
  1. Pensijilan ini menunjukkan komitmen TDA untuk mengurus risiko keselamatan maklumat dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pengguna dalaman dan luaran sistem dan melindungi maklumat yang berkaitan dengan pengurusan, pentadbiran dan pemantauan ICP di Malaysia.  Ini dapat dicapai dengan melaksanakan kawalan sistematik untuk melindungi maklumat daripada akses tanpa kebenaran, penggunaan, penzahiran, pemusnahan, pengubahsuaian, gangguan atau pengedaran. 10.             Adalah sangat penting bagi TDA, sebagai Pihak Berkuasa ICP negara ini, untuk memberi jaminan kepada stakeholders kami tentang dedikasi kami terhadap keselamatan maklumat, dan jaminan bahawa maklumat ICP dilindungi untuk standard industri yang paling tinggi. Mencapai sijil piawai seperti ISO/IEC 27001:2013 memerlukan komitmen dalam memastikan prasarana sistem (server, network, PCs), SOP dan tenaga kerja TDA yang memenuhi kriteria pensijilan dan menjadi asas kepada pelaksanaan yang kukuh. Melalui pendekatan ini, stakeholders tidak perlu berfikir dua kali sebelum menyerahkan data berkaitan ICP mereka kepada TDA melalui platfom I2DMS.
  1. Platform I2DMS yang dibangunkan oleh TDA adalah merupakan satu persiapan bagi menghadapi cabaran I.R. 4.0. Berdasarkan kepada mandat untuk menjadi pemudahcara pembangunan industri di Malaysia, TDA perlu bersedia dengan data dan maklumat yang tepat yang diperolehi dari pelbagai sumber dan boleh dianalisa bagi melihat lanskap dan ekosistem industri di Malaysia. Buat masa ini, TDA memberi tumpuan kepada industri rel, maritim, aeroangkasa dan tenaga berdasarkan kepada program perolehan yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Tidak lupa juga elemen hijau dan persekitaran turut dijadikan sebagai satu kriteria penting pelaksanaan ICP di Malaysia.
  1. TDA telah ditubuhkan sebagi satu entiti pada tahun 2015 oleh Kementerian Kewangan dengan mandat melalui Polisi ICP Kebangsaan untuk mengurus, mentadbir dan memantau pelaksanaan ICP. Dalam masa 3 tahun, TDA telah mendapat pensijilan ISO, ISMS dan menyertai ikrar bebas rasuah SPRM. Kesemuanya itu kami lakukan bagi menyatakan kesungguhan TDA dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan sebagai satu badan yang mengurus ICP di Malaysia. Oleh itu, sokongan penuh dari semua pihak dalam menjayakan ICP ini bagi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam mendokong pembangunan ekonomi di Malaysia adalah amat diharapkan dan diperlukan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Dunia hari ini membicarakan tentang Sustainable Development Goals (SDGs) 2030. Sebagai agensi yang dimandatkan oleh Kerajaan Malaysia untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan ICP di Malaysia, TDA tidak ketinggalan untuk memahami dan menitikberatkan SDGs dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Terdapat 17 matlamat SDGs yang ditetapkan dan dan berdasarkan kepada 3 fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030 yang telah ditetapkan oleh EPU, TDA akan turut serta dalam membangunkan program ICP yang mendokong inisiatif ini.
  1. Saya amat berbangga bahawa TDA telah dianugerahkan dua (2) persijilan bagi Sistem Pengurusan Berteraskan Kualiti. Dengan adanya persijilan ini, TDA sedia bergerak ke arah pentadbiran bertaraf antarabangsa. Kejayaan TDA pada hari ini adalah atas komitmen padu daripada semua pihak pengurusan dan warga kerja TDA sendiri. Saya berterima kasih kepada mereka kerana telah bersama-sama berusaha dan menyokong dalam menjadikan TDA sebuah Agensi yang dikenali diperingkat tempatan dan antarabangsa. Saya juga berharap semoga kita dapat memupuk kerjasama yang di antara semua pihak sekaligus membangunkan teknologi dan ekonomi negara ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan majlis pada hari ini, terutamanya warga kerja TDA dari Audit & Compliance Divisionatas inisiatif mereka untuk merealisasikan majlis ini.Saya penuh yakin, usaha yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi pemangkin ke arah pembentukan sebuah organisasi yang berintegriti dan telus.

Sekian., saya sudahi denganWabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.