TEKS UCAPAN YBHG. DATO’ ZAILANI SAFARI,

CHIEF EXCUTIVE OFFICER, TDA

 

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN BAGI 2NDTIER ICP AGREEMENT

ANTARA

TECHNOLOGY DEPOSITORY AGENCY BERHAD (TDA),

DHAYA MAJU INFRASTRUCTURES (ASIA) SDN BHD (DMIA)

DAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM)

 21 Julai 2017 | Jumaat | 9.00 pagi – 11.00 pagi | Intekma Resort, Shah Alam

 

Bismillahhirahmannirahim

Yang Berbahagia Dato’ Kamel bin Mohamad, 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

 

Yang Berbahagia Datuk Nik Ali bin Mat Yunus, 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

 

Yang Berbahagia Dato’ Chua Kok Ching

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan Malaysia

 

Yang Berusaha En Zairi Mat Ali

Timbalan Setiausaha, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia

 

Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Bin Said

Naib Cansellor, Universiti Teknologi Mara

 

Yang Berbahagia General Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohamed Azumi Bin Mohamed

Pengerusi, Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd

 

Yang Berbahagia Datuk Sri Subramaniam

Pengerusi, Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd

 

Ketua-ketua pengarah, pegawai-pegawai dari agensi kerajaan dan wakil media

Hadirin yang dihormati, tuan-tuan dan puan-puan.

 

Assalamualaikum w.r.b.t., selamat pagi dan Selamat Hari Raya (memandangkan kita masih berada di bulan Syawal)

  1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada para hadirin, tuan-tuan dan puan-puankerana sudi meluangkan masa bersama kita pada hari ini bagi menyaksikan satu lagi majlis penting dalam pelaksanaan Industrial Collaboration Programme (ICP)di Malaysia. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai ‘ICP Recipient’dan Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd (DMIA) sebagai ‘ICP Obligor’untuk program perolehan Trek Berkembar Lembah Klang (KVDT)kerana bersama-sama menganjurkan majlis ini.
  1. Hadirin sekalian, pelaksanaan ICP adalah merupakan satu inisiatif Kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi mendokong pembangunan ekonomi negara. Ianya telah bermula dengan lancar sejak pelaksanaannya beberapa tahun yang lalu terutamanya dengan pelancaran Polisi Edisi Ke Tiga yang bertajuk ‘Dasar dan Polisi berkaitan ICP untuk Perolehan Kerajaan’pada Mac 2014. InshaAllah, Kementerian Kewangan akan menambah baik polisi ini dan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
  1. Dengan gandingan Kementerian Kewangan sebagai peneraju kepada pelaksanaan Program ICP dan TDA sebagai organisasi pelaksana ataupun Malaysian ICP Authority, saya amat positif bahawa ia dapat mencapai sasaran yang telah diletakkan iaitu sebanyak RM 70 billionnilai ekonomi, menjelang tahun 2020 melalui faedah dan manfaat yang dapat dijana melalui pelaksanaan ICP. Sebagai contoh, pelancaran MRT Laluan Sg Buloh Kajang baru-baru ini (17 Julai 2017) telah menyaksikan 50% dari nilai kontrak dapat dilaksanakan menggunakan barangan tempatan, melebihi sasaran awal iaitu 30% dan ICP memainkan peranan penting dalam misi penggunaan barangan tempatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Semenjak pelaksanaan ICP bermula pada tahun 2011, TDA telah menguruskan 70 ProgramICP yang dicetus dari pelbagai perolehan mega untuk pelbagai sektor industri oleh Kerajaan yang bernilai lebih kurang RM70 bilionsehingga tahun 2020. Jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan perolehan dari Kerajaan. Buat masa ini, 7 programtelah dilengkapkan dan telah menyumbangkan Nilai Kredit ICP (ICV) sebanyak 134 bilionterhadap ekonomi negara.  Nilai ICV dijana berdasarkan impak dan keberkesanan projek-projek ICP terhadap keperluan dalam memperkasakan keupayaan tempatan. Maka boleh dirumuskan bahawa setiap satu ringgit (RM1) yang dibelanja untuk perolehan, Kerajaan mendapat pulangan berganda didalam bentuk pelaburan berkualiti, penembusan pasaran, penambahan daya kerja (K-Worker), keupayaan teknikal dan juga pemindahan teknologi.
  1. Dengan matlamat ini, TDA sebagai pihak yang diberi mandat untuk memantau pelaksanaan ICP, dengan kerjasama serta sokongan daripada pihak Kementerian Kewangan, akan terus merancang dan melaksana inisiatif-inisiatif yang bersesuaian dengan rakan-rakan strategik, khususnya bersama dengan syarikat-syarikat tempatan bagi mendapatkan hasil pulangan yang terbaik melalui projek-projek ICP.
  1. Tuan-tuan dan puan-puan, majlis menandatangani 2ndTier Agreement pada hari ini merupakan satu proses yang penting, selaras dengan Rangkakerja Pengurusan ICP Malaysia yang mendokong aspirasi yang ditetapkan dibawah pelaksanaan ICP. Dokumen perjanjian yang akan ditandatangani sebentar nanti adalah merupakan hasil salah satu daripada ‘output’proses rangkakerja pengurusan ICP yang perlu dilaksanakan oleh pembekal program perolehan Trek Berkembar Lembah Klang (KVDT).
  1. Bagi mematuhi program ICP yang disyaratkan, pembekal yang dipilih oleh Kerajaan untuk melaksanakan satu program perolehan boleh melaksanakan dalam pelbagai bentuk melihat kepada keperluan dan kaedah yang dipandang sesuai oleh TDA dan Kementerian yang membuat perolehan. Untuk perolehan KVDT ini, pihak DMIA telah dipersetujui untuk memberi sumbangan kepada UiTM peralatan mesin Cyclical Testing Rig for Rail and Concrete Sleepers kepada UiTM dan ianya akan dinilai dengan Nilai Kredit ICP (ICV) sebanyak 9 juta.
  1. Sumbangan oleh pihak industri kepada akademia atau pusat penyelidikan dan diikuti dengan program pembangunan yang beterusan adalah merupakan satu pendekatan ‘win-win’ yang akan memberi manfaat kepada Negara. Pendekatan ini telah dilaksanakan di negara lain seperti United Kingdom, Germany dan USA dan lain-lain lagi bagi menggembeling usahasama pihak industri dan akademia untuk mendapatkan ‘solution’ pembangunan keupayaan dan kapasiti negara mereka yang efektif dan lestari.
  1. Bagi tujuan penilaian ICV sebanyak9 jutayang telah dipersetujui, ianya akan melalui satu proses audit (PIA) yang akan dilaksanakan oleh TDA bagi memastikan kepatuhan pelaksanaan projek sejajar dengan perjanjian ICP (1stdan 2nd) Tiers yang telah dan akan ditandatangani.Oleh kerana itu kita akan menyaksikan majlis menandatangan perjanjian secara ’tripartite’ dimana DMIA sebagai ‘ICP Provider’, UiTM sebagai ‘ICP Recipient’dan TDA sebagai entiti yang akan memastikan terma-terma pelaksanaan perjanjian ini dipatuhi.
  1. TDA melihat kepada perkembangan industri rel di Malaysia mutakhir ini sebagai satu industri yang penting. Dimaklumkan bahawa Kerajaan akan membelanjakan lebih dari RM150 billionhingga tahun 2022 bagi tujuan membangunkan infrastruktur dan sistem rel di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perlu ada satu pendekatan yang bersepadu bagi membolehkan pembangunan kapasiti dan keupayaan untuk memastikan ‘through life support’ bagi asset yang dibeli dapat dilaksanakan dengan kos yang efektif. Pihak TDA dengan kerjasama Kementerian Kewangan pada masa ini sedang membangunkan ‘National Rail Centre of Excellence’ (NRCOE) yang akan menjadi pusat kecemerlangan industri rel di Malaysia.
  1. Dengan adanya mesin pengujian khusus untuk menguji sleeper rel dan konkrit, adalah diharapkan UiTM dapat menguasai semua pengujian tempatan dan mengelakkan semua pengujian dieksport ke negara luar. Bukan itu sahaja, diharapkan UiTM akan menjadi salah satu ‘contributors’kepada inisiatif NRCOE dan akan menambahbaik dari masa kesemasa proses-proses yang diperlukan dalam melaksanakan pengujian. Ini secara tidak langsung dapat membantu kontraktor untuk menepati jadual projek.
  1. Buat makluman tuan-tuan dan puan-puan, NRCOE telah dan akan kerjasama dengan pelbagai pihak (industri, academia dan certification agencies) dari luar dan dalam negeri bagi memastikan pembangunan kebolehupayaan dan kapasiti di Malaysia bagi tujuan mendokong strategi ‘through life support’.
  1. Ingin saya berkongsi di sini bahawa diperingkat global, pelaksanaan ICP atau program-program lain yang serupa dengannya telah memberi sumbangan kepada pembangunan industri. Di Turki contohnya, lebih dari 50% dari pembangunan industri pertahanan mereka adalah disandarkan kepada kejayaan program seperti ICP ini. Perkara yang sama juga dilaksanakan di Korea Selatan dimana pesawat pejuang mereka (KAI T-50) dibangunkan melalui program ICP bersama Lockheed Martin.Sehubungan itu, majlis pada hari ini dalah merupakan salah satu success story yang terhasil daripada pelaksanaan pelbagai program ICP  sebagai instrumen kolaborasi industri dan diharap akan memberi sumbangan kepada pembangunan kebolehupayaan negara.
  1. Secara amnya, buat masa ini, tatacara pelaksanaan ICP di Malaysia adalah merupakan salah satu yang bersistematik dan diberi pengiktirafan oleh pengamal dan komuniti ICP diperingkat global. Pihak TDA telah diminta oleh beberapa negara luar untuk berkongsi tatacara pelaksanaannya terutamanya yang berkaitan dengan Rangkakerja Pengurusan ICP Malaysia.
  1. Pihak TDA juga telah diminta diperingkat global untuk mengetuai persidangan antarabangsa yang dihadiri oleh pengamal ICP yang mewakili pelbagai Negara. Pada bulan Mac yang lalu, TDA telah diberi mandate oleh komuniti ICP global mengetuai persidangan antarabangsa yang dihadiri oleh wakil Kerajaan dari 15 negara di Kuala Lumpur. Berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan, pada bulan Oktober ini, TDA diminta untuk mengetuai persidangan antarabangsa yang sama untuk sessi musim luruh (Autum) di Key Briscane, di Amerika Syarikat dan selanjutnya untuk musim bunga (Spring) di Eropah.

Tuan-tuan dan Puan-puan

  1. Tujuan saya berkongsi perkara yang diatas adalah untuk memberi penekanan bahawa pelaksanaan program ICP di Malaysia berada di landasan yang betul. Oleh itu, kerjasama erat dari pelbagai pihak terutamanya pihak industri kepada pihak Kerajaan adalah amat penting bagi memastikan ICP dapat digunakan dengan efektif bagi mendokong pembangunan ekonomi Negara. Sekiranya negara lain boleh melakukannya, mengapa tidak kita?
  1. Bagi mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan projek ini terutamanya pihak Kementerian Kewangan, selaku peneraju program ICP, Kementerian Pengangkutan Malaysia selaku kementerian yang membuat perolehan yang telah memberi sokongan padu dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang membuka ruang kepada akademia untuk menjadi penerima. Sekiranya tindakan bersepadu ini dapat dikekalkan, banyak lagi program ICP yang akan datang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan kebolehupayaan negara.
  1. Akhir kata, sekalung tahniah diucapkan kepada wargakerja TDA, DMIA, dan UiTM yang telah bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Terima kasih. Assalamualaikum w.r.t.b.