MAJLIS LAFAZ IKRAR BEBAS RASUAH

 

TEKS UCAPAN DATO’ ZAILANI SAFARI, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, TDA

 

03 August 2017 | TDA, LEVEL 2, MENARA PRISMA, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Alhamdulillahi robbil A’lamin..

 

Yang Berbahagia Dato’ Junipah binti Wandi

Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 Pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan 

Pegawai-pegawai dari SPRM

Pengurusan kanan dan semua wargakerja TDA yang saya hormati sekalian

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Ilahi atas limpah kurnia, izin dan inayahNya, kita dapat bersama-sama di dalam majlis yang penuh barakah pada hari ini. Majlis ini amat bermakna dan bersejarah kepada kami wargakerja Technology Depository Agency (TDA) yang disandarkan dengan mandat dan amanah dari Kerajaan untuk membantu melestarikan pembangunan ekonomi Negara.
  1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak SPRM yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Junipah binti Wandi kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke premis TDA bagi menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah ini.

Hadirin yang dihormati,

  1. Pada hari ini, TDA melakar sejarah tersendiri apabila wargakerja TDA dari semua peringkat, menandatangani komitmen dan melafaz ikrar bagi usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan dalam TDA. Komitmen dan lafaz ini adalah bagi tujuan memperkasa nilai dalaman agensi dalam melaksanakan mandat yang diberikan dengan integriti yang tinggi.
  1. Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan kami bersama-sama SPRM dalam menjunjung tanggungjawab yang diamanahkan. Kami melihat gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau lain-lain perbuatan yang seumpama dengannya sebagai parasit. Sekiranya parasit ini dibiarkan untuk berkembang biak dalam sesebuah organisasi, ianya akan merosak dan boleh merencat pertumbuhan sesebuah organisasi itu tidak kira organisasi kecil seperti TDA ataupun organisasi yang mentadbir negara.
  1. Perjalanan TDA Berhadsebagai sebuah organisasi telah bermula pada 11 Mac 2015. Sejak dari awal penubuhan lagi pihak pengurusan TDA sedar bahawa bagi memastikan mandat TDA dapat dilaksanakan dengan efektif dan menepati aspirasi penubuhannya, perlu ada satu pendekatan yang akan memastikan organisasi ini berada di atas landasan yang betul.
  1. Buat makluman SPRM dan para jemputan, TDA telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan Program Koloborasi Industri (ICP) di Malaysia. Pelaksanaan ICP ini melibatkan perancangan pembangunan ekonomi, penilaian projek dan program yang dicadangkan oleh pelbagai syarikat luar negara dan tempatan, pemantauan pelaksanaan program, verifikasi program dan sebagainya. Sesungguhnya, kepercayaan yang diberi dalam melaksanakan tugas ini membawa galasan cabaran yang berat, namun ianya perlu dijalankan bagi memastikan Negara dan rakyat mendapat manfaat pulangan dari perolehan Kerajaan.
  1. Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan TDA memupuk dari awal budaya dan nilai korporat yang menjunjung nilai integriti sebagai nadi pergerakan aktiviti TDA. Nilai integriti ini perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan sama ada melalui tauladan kepimpinan, tatacara penampilan serta keterampilan dan yang paling utama adalah sikap (attitude) warga kerja TDA dalam melaksanakan tugas.

Tuan tuan dan puan puan,

  1. Untuk memastikan penterjemahan perlakuan sebagaimana yang dikehendaki, satu rangka pemikiran perlu dibentuk dan pembudayaannya perlu dibangun secara menyeluruh, supaya perlakuan dan tatacara perlaksanaan kerja dapat dilaksana secara automatic. Oleh yang demikian, pembudayaan nilai korporat TDA iaitu A.I.S – Disiplin, Amanah, Ikhlas dan Syukurtelah diterap dari awal TDA ditubuhkan. Nilai korporat ini perlu dihidupkan dan menjadi teras kepada kehidupan setiap warga kerja TDA.
  • DisiplinTo uphold the rules and norms of the workplace and carry out our duties in an organized team work, consistent and professional manner’
  • Amanah– ‘To be accountable for our actions and act in a responsible manner in the course of discharging the duties’
  • IkhlasTo perform our duties with total commitment and a clear conscience’
  • SyukurTo be grateful to God for what we have and what we are able to do’
  1. Saya secara peribadi percaya bahawa pembudayaan nilai korporat yang sejajar dengan kehendak agama ini, bukan sahaja akan memberi ruang kejayaan kepada warga kerja dalam melaksanakan tugas di TDA, tetapi juga akan membuka jalan kejayaan dimana jua kita berada.
  1. Sehubungan itu saya menyeru kepada semua warga TDA agar dapat melaksanakan nilai korporat ini dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh sedaya upaya kerana ianya akan memberi manfaat kepada diri, organisasi, keluarga, masyarakat bukan sahaja di dunia malahan jua di akhirat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

  1. Pembudayaan nilai korporat yang disebutkan tadi, secara ‘alaminyaperlu diperkukuhkan dari aspek rohani dan jasmani. TDA melaksanakan pelbagai program bagi pengisian rohani seperti kuliah agama bulanan, messaging dan pesanan komuniti TDA yang berunsur keagamaan melalui media sosial, penghayatan kehidupan berpandukan Al Quran dan sunnah semasa mesyuawarah, tadarrus di bulan Ramadhan Al Kareem dan pelbagai lagi. Islam is the best way of life.
  1. Pengukuhan rohani tersebut diseimbangi dengan aktiviti jasmani melalui penganjuran program seperti acara sukan antara rumah, program team-building, knowledge-sharing, sambutan hari-lahir dll yang boleh dijadikan pelantar untuk mengukuhkan ukhuwah antara warga kerja.
  1. Langkah seterusnya bagi memastikan pelaksanaan tadbir-urus yang cemerlang, pihak pengurusan mempersiapkan agensi ini bagi mematuhi dan menepati beberapa prosedur seperti ISO2015:9001, ISMS 27001:2013 dan Corporate Integrity Pledge (CIP)oleh SPRM.
  1. Inisiatif insaniah yang mencakupi pembangunan dalaman, luaran dan digabungkan dengan tadbir urus yang mantap termasuklah melaksanakan Corporate Integrity Pledge (CIP) diharap mampu melahirkan warga kerja yang cemerlang. Kecemerlangan warga kerja adalah penting sebagai duta ICP Malaysia bagi meningkatkan kefahaman bagi mendapat sokongan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Industrial Collaboration Programme (ICP) di dalam dan luar negara.

Tuan tuan dan puan puan,

  1. Bertunjangkan kepada kecemerlangan warga kerja TDA, pelaksanaan ICP di Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh pengamal Countertrade & Offset di peringkat global, sebagai salah satu pendekatan pelaksanaan yang pragmatik, mesra perniagaan dan pada masa yang sama mematuhi syarat dan ketetapan yang diberikan oleh Kerajaan. Sehubungan dengan itu, TDA beriltizam meneruskan kecemerlangan ini dengan menjadi jaguh bukan sahaja di ’kampung tanahairku’, malahan di peringkat antarabangsa.
  1. Sesungguhnya, tidak ada maknanya jika kita memperolehi banyak kejayaan sepanjang tempoh perkhidmatan, sedangkan elemen integriti dan kecemerlangan diri tidak digarap bersama dalam mencapai kejayaan tersebut. Kita perlu sedar bahawa dalam aspek integriti, perkara paling utama adalah pengamalannya, bukan setakat memperkatakannya atau membuat perakuan di atas kertas. Namun, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah sebagai satu tanda komitmen bagi menzahirkan cita-cita yang kuat untuk terus memperkukuhkan lagi integriti TDA khasnya, dan agensi kerajaan umumnya.

Tuan tuan dan puan puan,

  1. Pada akhir zaman ini, isu-isu berkaitan integriti seakan tiada penghujungnya.Isu-isu ini perlu diatasi atau ditangani kerana ia bukan sahaja menyebabkan kehilangan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan, malah boleh menyebabkan ancaman ke atas keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara.
  1. Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan saya agar setiap warga kerja TDA berusaha menuju ke arah persekitaran kondusif didokong dengan nilai integriti yang tinggi. Saya yakin bahawa semua warga kerja TDA adalah warga kerja yang cemerlang dan jujur, sehubungan dengan itu kita semua akan terus mengekalkan nilai ini dalam melaksanakan tanggungjawab seharian kita di TDA.
  1. Akhir kata, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan majlis pada hari ini, terutamanya pegawai-pegawai TDA dari Audit & Compliance Unitatas inisiatif merealisasikan majlis ini.Saya penuh yakin, usaha murni yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi pemangkin ke arah warga kerja yang berintegriti dan telus.

Sekian.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.