CYBERJAYA, 27 Januari 2018 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Technology Depository Agency (TDA) telah berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA, hari ini. MoU ini diwujudkan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama antara PEKEMA dan TDA inisiatif dibawah Industrial Collaboration Programme (ICP).

MoU ditandatangani oleh Presiden PEKEMA, YBhg. Dato’ Hj. Zainuddin Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif TDA, YBhg. Dato’ Zailani Safari. Majlis disaksikan oleh YBhg Dato’ Junaidah Kamarruddin, ahli lembaga pengarah TDA, 150 ahli PEKEMA dan wakil dari kementerian-kementerian, agensi kerajaan dan pemain industri.

Kerjasama ini adalah salah satu inisiatif PEKEMA bagi memperluas dan mempelbagaikan jenis perniagaan selain daripada menjadi penjual kenderaan import. Dengan terhasilnya kerjasama ini, diharap PEKEMA akan berkembang dalam sektor perniagaan lain seperti sektor pembuatan, sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan sebagainya disamping mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi, industri dan teknologi negara.  Kerjasama ini adalah selaras dengan seruan kerajaan untuk berdaya saing di era globalisasi dan menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

Menurut Dato’ Zainuddin, di dalam usahasama ini, PEKEMA akan mengenal pasti projek yang bernilai tinggi seperti pembuatan kenderaan elektrik, pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik dan lain-lain serta rakan strategik yang boleh memanfaatkan maklumat, teknologi dan kepakaran bagi memastikan projek ini berimpak tinggi. Ini adalah seiring dengan matlamat PEKEMA iaitu “Satu Gabungan Satu Perjuangan”.

“Buat masa ini, TDA telah mengenalpasti potensi pembangunan industri yang bernilai lebih dari RM10 billion. Ini adalah berdasarkan kepada perolehan mega yang dilaksanakan oleh Kerajaan terutamanya dalam industri rel. Angka yang disebutkan ini tidak termasuk program mega seperti HSR, ECRL, MRT3 dan lain-lain. Berdasarkan kepada polisi Kerajaan dan pendekatan pelaksanaan ICP pada masa ini, pihak TDA menjangkakan pulangan ekonomi dengan pengganda lebih dari RM60 billion,” kata Dato’ Zailani didalam ucapan beliau.

Menurut Dato’ Zailani lagi, pada masa ini TDA sedang membangunkan ICP Intelligent Data Management System (I2DMS), sebuah sistem pengurusan projek dan penyimpanan data ICP.  Sistem ini merupakan pangkalan data yang akan membantu Kerajaan dalam mengenalpasti ekosistem industri dan rantaian bekalan sektor yang strategik seperti industri rel, maritim, tenaga dan lain-lain. Melalui projek usahasama yang akan dilaksanakan, PEKEMA akan mempunyai akses kepada sistem ini bagi membolehkan pembangunan industri tempatan terutamanya yang berkaitan dengan bumiputera dapat dibangunkan dengan lebih efektif.

 

Media enquiry:

wanrofidah@tda.my

+60122432010