Majlis Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat TDA julung-julung kali diadakan sebagai satu sokongan terhadap kempen yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam usaha untuk menyemai semangat cintakan negara.

Majlis ini yang diadakan di Pejabat TDA telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa kesyukuran dan dimeriahkan lagi dengan Bacaan Ikrar Rukun Negara oleh seluruh warga kerja TDA yang dipimpin oleh En. Mohamad Noowawi Md Yasin.

Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat TDA telah bermula pada bulan Ogos yang lalu telah menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan. Antaranya ialah Kempen Kibar Jalur Gemilang yang mana warga kerja TDA bergotong royong menghias ruang kerja pejabat TDA Jalur Gemilang, Pertandingan Sukan Rakyat antara rumah kelab dan Pertandingan Instagram Merdeka TDA.

Acara kemuncak bagi sambutan ini adalah Pertandingan Lagu Patriotik antara rumah kelab yang telah memperlihatkan setiap rumah kelab menyanyikan lagu patriotik secara berkumpulan dengan kreativiti dan gaya masing-masing. Rumah Kelab ‘Wind’ telah memenangi pertandingan ini melalui persembahan lagu Tanggal 31 yang penuh semangat, kreatif serta menunjukkan kerja berpasukan yang tinggi.

Majlis ini kemudian berakhir dengan acara pemotongan kek oleh pihak pengurusan tertinggi TDA yang telah ditempah khas mengikut logo rasmi Malaysia Prihatin yang melambangkan keprihatinan negara terhadap rakyat yang juga bertepatan dengan aspirasi TDA yang sentiasa berusaha untuk memberi nilai tambah terhadap perkembangan ekonomi dan teknologi di negara kita ini.